Friday, October 30, 2009

Tetamu tidak dundang ke Bukit Aman-Roger tuan!

Saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari Sdr Din Abas, usai kes di Mahkamah Syariah Kajang, memaklumkan Ustaz Zawawi dipanggil ke Bukit Aman. Berderau darah tapi masih mampu bertenang. Panggilan selanjutnya saya panjangkan ke pengetahuan sdr Timbalan Presiden, SUA dan beberapa teman peguam untuk persediaan. Malah jari jemari meluncur menekan nombor PejabatPeguam Negara untuk mendapatkan maklumat. Setelah yakin bahawa kehadiran hanyalah untuk mengambil kenyataan, ya saya fikir ini adalah rahmat setelah menunggu tindakan dari pihak berwajib. Cuma saya tidak menyangka bahawa siasatan akan dibuat oleh Cawangan Undang-undang Bukit Aman sedangkan laporan polis dibuat di Selangor dan Kuantan.

Petangnya saya sempat berbual dengan Ustazah Hazlina, mantan HELWA Selangor yang terkenal dengan ketegasan dan tegar jiwanya dalam gerakan ini. Kalimat keramat dibisikkan supaya kita harus menghadapi isu ini sehingga selesai, kata kak Na (nama mesra beliau), isu ini adalah isu tulen, hanya ABIM yang betul-betul membawa isu ini, setelah sekian lama kita tidak berhadapan dengan isu, kita harus tangani isu ini sehingga selesai. Itulah jawapan tegas daripada bidadari syurga!

Keesokkannya, usai urusan di Mahkamah, saya, SUA dan seorang lagi exco gerak khas menjejakkan kaki ke Bukit Aman dengan tujuan untuk mengiring Ustaz Zawawi dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Encik Mohd Isa. Kami melaporkan diri di Balai Pegawai dan menyerahkan kad pengenalan serta telefon bimbit. Ada debar dalam keterujaan. Kami meredah Bukit Aman yang tenang dan misteri itu untuk menjejaki Ustaz, Ustazah dan Encik Isa.

Hampir sejam berlegar, kelibat mereka tidak kelihatan sedangkan kami telah berjanji untuk berjumpa di lobi, argh..rupanya ada bnayak lobi di sini! Mujurlah sdr SUA yang tenang itu mengenali pegawai-pegawai lain yang turun menyambut kami dengan mesra tapi terpinga-pinga kerana tidak menyangka tujuan kehadiran kami. Bagai menyerah diri nampaknya!

Kami diiringi empat pegawai menuju ke kantin di Bukit Aman. Sambil menikmati Nasi ayam dan Teh ais, semua pegawai ramah bercerita dan mengambil maklumat diri kami serta berkongsi maklumat. Wah, sesuai dengan jabatan mereka cawangan khas, banyak sungguh maklumat mereka ini. Cuak juga rasanya, tapi memikirkan kami datang dengan niat yang baik, pastinya tuhan mengizinkan hanya perkara yang baik sahaja. Rancak bercerita, hati gusar memikirkan dimana lokasi Ustaz dan ustazah! roger!

Jam 1.30 petang, kami memohon untuk mengundurkan diri kerana saya perlu menghadiri kes di Keramat. Tika ini, kelibat dan maklumat di mana ustaz dan ustazah masih tidak diketahui. Kami dihantar pulang ke pos keselamatan oleh Tuan Subra (Ketua Unit Cawangan Khas) dan Tuan Abdul Razak, sedang Tuan Chot dan seorang lagi pegawai pulang menuruni lurah bukit dengan berjalan kaki!Bukankah kehadiran kami sangat istimewa kerana hanya Pegawai ASP ke atas sahaja yang dibenarkan membawa kereta ke dalam Bukit Aman!

Sempat bergambar dengan SUA di pintu pagar IPD, merakam detik sejarah menjadi tetamu tidak diundang di Bukit Aman. Lega sebaik sahaja panggilan telefon saya dijawab oleh Encik Isa dan kemudiannya Ustaz dan Ustazah membalas panggilan kami. Selesai kenyataan diberikan, kuasa dan harapan diletakkan kepada pihak berwajib untuk meneruskan siasatan. Kami sedia memberikan kerjasama membantu siasatan andai diperlukan!Roger!

No comments: